suria

Salahguna Kedudukan: Penolong Pegawai Tanah Daerah Di Johor Direman

JOHOR BARU: Seorang penolong pegawai di Pejabat Tanah Daerah di Johor, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana menyalahguna kedudukan, direman enam hari bermula Selasa.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abdul Ghani berkata perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nurhidayah Abd Manaf.

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM (Akta 694).

"Pada ketika ini, kita juga sedang menyemak dengan teliti aset-aset suspek bagi menentukan punca perolehannya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa.

Suspek yang berumur lingkungan 50-an ditahan di pejabat SPRM negeri di sini, kira-kira pukul 2 petang.

Suspek dipercayai menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah di pejabat-pejabat tanah daerah lain, selain untuk memperoleh tanah secara pindah milik.

Simi berkata berdasarkan hasil siasatan, suspek juga didapati memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas lebih enam hektar, tanah usahasama 27.2 hektar, tanah rumah kediaman dan kediaman mewah di beberapa daerah di negeri ini. - BERNAMA

pegawai tanah daerah, Johor, reman

Artikel Sebelum

Artikel Lain