KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengumumkan peruntukan dana bernilai RM30 juta untuk membantu membiayai perniagaan yang diusahakan golongan wanita. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mara turut memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM5 juta untuk membimbing usahawan wanita dalam memulakan perniagaan. "Kita akan lihat dan bincang dengan Kak Jat (Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil). Projek usahawan besar pinjaman sehingga RM1 juta. "Untuk usahawan kecil di bawah Kemas iaitu kursus jangka pendek kita beri peralatan untuk mereka mulakan perniagaan," katanya ketika berucap sebelum sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno di Dewan Tun Hussein Onn pada Rabu. Menurut Ismail Sabri, peruntukan itu diberikan kerana Mara tidak mahu golongan wanita yang mengikuti kursus jangka pendek tidak memanfaatkan latihan tersebut dengan sewenang-wenangnya. "Kita tak nak macam dulu, lepas kursus gantung sijil. Sekarang lepas dapat sijil menjahit kita bagi peralatan menjahit. Kita lakukan untuk Wanita kerana mereka pendokong paling kuat dalam Umno," katanya. Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan agihan 30 peratus ruang niaga untuk usahawan wanita memasarkan produk mereka di permis perniagaan baharu Mara. "30 peratus cadangan Pasarnita kita akan tengok tapi untuk semua premis perniagaan baharu Mara kita beri 30 peratus ruang niaga untuk mereka," katanya.