KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan seorang wartawan Al Jazeera bagi membantu siasatan laporan media antarabangsa itu yang mendakwa Malaysia sebagai hab penjualan bayi pada minggu lepas. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab bagi menjalankan siasatan terhadap kegiatan yang melanggar undang-undang termasuk penyeludupan bayi. "Wartawan wanita warga tempatan itu memberi kerjasama yang baik dan polis faham kenapa beliau membuat laporan itu...jika perlu kita akan panggil lagi beberapa individu yang berkaitan bagi membantu siasatan. "Saya sekali lagi ingin nafikan Malaysia bukan hab penjualan bayi...takkan kita nak biarkan pula kegiatan menjual bayi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang dilaporkan berkata polis sudah memanggil kru produksi stesen televisyen berkenaan untuk siasatan lanjut berhubung kesahihan laporan tersebut. Khalid berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan itu. Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya akan menyiasat laporan berhubung Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang menerima sepucuk surat berbaur ugutan bunuh dan berisi sebutir peluru. Semalam media melaporkan Maria menerima surat dan peluru berkenaan di rumahnya di Taman Bukit Mayang Emas, Petaling Jaya, Selangor, bertarikh 18 Nov lalu ketika dia ditahan polis. Terdahulu Khalid melancarkan Program Menambah Anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia dan laman sosial Facebook koperasi berkenaan di Bukit Aman, di sini, hari ini.