suria

Bukan Pilihan Mudah Buat Saya - Ketua Puteri Umno Semporna

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya mengakui bukan mudah baginya untuk memilih antara kesetiaan kepada Umno atau Datuk Seri Shafie Apdal.

Ini kerana katanya, Shafie bukan orang baru dalam politik, malah mempunyai nama yang besar bukan sahaja di peringkat nasional tetapi negeri dan juga Semporna.

Bagaimanapun beliau memilih untuk setia bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Saya sendiri di Puteri Umno Semporna terpaksa memilih antara Shafie dan Umno. Ia bukan satu pilihan yang mudah untuk saya.

"(Bagaimanapun) Ini adalah prinsip perjuangan, kepercayaan saya dan pembuktian kerja yang telah dilakukan Umno dan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesetiaannya di dalam Umno dibangkitkan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan bakal bersaing dengan Parti Warisan Sabah (PWS) yang  diterajui Shafie, Zakiah berkata, pihaknya masih berusaha untuk meyakinkan pengundi-pengundi di Semporna bahawa Umno dan BN akan terus menjadi parti pembela rakyat.

Walaupun mengakui berlaku sedikit pengurangan ahli Puteri di bahagian itu, tetapi kata Zakiah, ia bukan halangan untuk Umno terus memperjuangkan dan meraih sokongan rakyat.

"Kita akan terus bekerja kuat bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional mendapat tempat di Semporna.

"Kita akan mendapat gerak kerja semasa. Saya percaya gerak kerja kali ini lebih baik berbanding sebelum ini. Yang pasti kita perlu bekerja lebih keras," katanya.

Terdahulu, Mas Ermieyati sebak sewaktu membicarakan tentang kesetiaan Zakiah di saat kemelut politik yang berlaku di Semporna.

"Biar apapun yang berlaku, Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna terus setia dengan parti, khususnya Puteri.

"Inilah contoh Puteri terbaik kita. Inilah bukti kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti. Inilah juga salah satu kekuatan asas yang mematangkan Umno kekal dalam sejarah sehingga kini," kata Mas Ermieyati.

Jun lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti susulan penggantungan keanggotaan Shafie dan tindakan sama kononnya turut diambil Zakiah.

Bagaimanapun, Zakiah menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya memilih untuk terus setia dalam Umno.


Artikel Lain