suria

Tambah Calon Muda PRU-14 - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati mencadangkan supaya kepimpinan tertinggi parti itu  memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon orang muda pada pilihan raya umum akan datang.

Menerusi cadangan yang dipersetujui bersama Pemuda Umno, beliau berkata, ia merupakan antara usaha untuk meremajakan parti dan strategi meraih sokongan rakyat terutama di kalangan anak muda.

Tambah Mas Ermieyati, satu kajian menunjukkan faktor calon menyumbang kepada 60 peratus kemenangan dalam PRU.

"Selari dengan kajian tersebut, calon muda yang akan membawa nama parti juga mestilah berasaskan calon yang disukai ramai dan berkredibiliti.

"Pada masa sama, calon-calon muda yang akan bertanding  juga harus diletakkan di kawasan yang sesuai dengan kecenderungan orang muda dan bukannya di kawasan yang mempunyai peluang kemenangan tipis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Mas Ermieyati berkata, pendekatan itu turut menghantar isyarat jelas bahawa parti memahami dan berada selari dengan kehendak dan aspirasi golongan muda.

Terdahulu, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian perhimpunan agung sayap pada Selasa malam berkata, beliau akan berusaha untuk mengusulkan penambahan bilangan calon dari ketiga-tiga sayap untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Mas Ermieyati memberitahu pihaknya menerima banyak usul Puteri Umno bahagian supaya dilaksanakan keahlian automatik dan melanjutkan usia Puteri dari 35 ke 40 tahun.

"Sebenarnya, usul keahlian automatik telah berulang kali dicadangkan sejak Ketua Puteri Umno yang pertama lagi iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said sehinggalah ke Datuk Rosnah Shirlin," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya sebarang perbincangan yang menyentuh isu keahlian akan dibincangkan secara bersama-sama demi memastikan kesejahteraan parti terjamin.

"Kami berharap supaya dalam isu ini akan ada sinar yang baru. Kami yakin, Tan Sri Shahrizat selaku Ketua Wanita Umno begitu memahami aspirasi golongan wanita muda," ujar Mas Ermieyati.

Puteri Umno, Mas Ermieyati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain