suria

KJ Pimpin Doa Selamatkan Rohingya

KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sayu mengenang nasib umat Islam di Myanmar susulan insiden pembunuhan beramai-ramai etnik Rohigya di negara itu.

Lebih menyentuh perasaan tatkala klip video pendek yang menunjukkan nasib etnik berkenaan ditindas ditayangkan di hadapan 990 Perwakilan Pemuda Umno pada pemulaan Ucapan Dasar Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin.

Susulan itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut melahirkan pendirian sayap Umno itu mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas bangsa Rohingya di Myanmar yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Pemuda Umno mendesak kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan segala bentuk kekejaman ini dengan serta-merta.

"Kepada Asean, Pemuda Umno juga mendesak agar keahlian Myanmar dalam Asean dikaji semula. Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pemusnahan etnik besar-besaran dalam sebuah negara ahli Asean,” katanya di sini, Rabu.

Menerusi ucapannya, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu turut memimpin bacaan doa bagi memohon perlindungan Allah daripada kezaliman terhadap bangsa Rohingya.

"Ya Allah, hancur dan leburkanlah musuh-musuh durjana yang menindas orang Islam, pecah belahkanlah mereka dan goncangkanlah hati-hati mereka.

"Ya Allah, menangkanlah orang Islam dan kalahkan semua musuh-musuh kaum Muslimin,” katanya.

KJ, Rohingya, Pemuda Umno

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan