suria

Mas Ermieyati Sebak Imbau Kesetiaan Ketua Puteri Semporna

Zakiah Kalipunya yang tetap setia bersama Puteri Umno sehingga kini.

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati sebak sewaktu membicarakan tentang kesetiaan Ketua Puteri Semporna, Zakiah Kalipunya di saat kemelut politik yang melanda parti itu.

Beliau berkata, umum sedia maklum mengenai kemelut yang melanda Semporna membabitkan bekas naib presiden parti, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tegasnya, walau apa yang berlaku, soal kesetiaan adalah penting dalam konteks gerak kerja pilihan raya umum akan datang.

"Biar apapun yang berlaku, saya ingin sebut di sini, Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna terus setia dengan parti, khususnya Puteri. 

"Inilah contoh Puteri terbaik kita. Inilah contoh dan bukti kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti. Inilah juga salah satu kekuatan asas yang mematangkan Umno kekal dalam sejarah sehingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Mas Ermieyati berkata, kesetiaan kepada pemimpin dan parti umpama tiang seri yang akan memastikan kestabilan dalam Umno.

"Sejarah menunjukkan banyak negara besar dan agung, kemudiannya hancur berkecai kerana soal kesetiaan," katanya.

Jun lalu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti dan tindakan sama kononnya turut diambil Zakiah.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keanggotaan Shafie.

Bagaimanapun, Zakiah menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya memilih untuk terus setia dalam Umno.

Bulan lalu, Shafie mengumumkan beliau menerajui parti baharu, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menggantikan Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS).

Puteri Semporna, Mas Ermieyati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan