suria

"Dedak Makanan Haiwan" - Perwakilan Terengganu

Wakil Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi membahas usul pada persidangan yang masuk hari kedua sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno Terengganu meluahkan rasa kesal kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang disanjung selama ini telah melabelkan ahli parti itu sebagai pemakan dedak.

Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, walaupun Dr Mahathir berjasa memimpin negara selama 22 tahun sehingga diangkat sebagai negarawan, namun sikapnya kini sebenarnya menghina pemimpin dan ahli Umno.

"Dr Mahathir hina kita malah melabelkan kita sebagai pemakan dedak. Dedak itu makanan haiwan, sampai macam tu sekali kita dicerca dan dihina.

"Hari ini apa yang kita hendak gelarkan dia? Kerana orang yang kita sayangi sebelum ini pada hari ini jelas bukan sahaja bersekongkol dengan pembangkang tetapi menghina institusi presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Mohd Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata, berdasarkan suasana politik kini, pembangkang terpaksa 'mengutip' pemimpin-pemimpin yang ditolak Umno.

Malah beliau melabelkan pakatan pembangkang sebagai reject store berikutan beberapa parti ditubuhkan bekas pemimpin Umno atas kekecewaan selepas ditolak Umno.

"Pakatan pembangkang merupakan reject store. Tertubuhnya PKR, Umno reject. Tertubuhnya Pribumi, Umno reject. Parti ini ditujukan atas dasar kekecewaan," katanya.

Beliau berkata demikian yang merujuk kepada PKR yang ditubuhkan selepas pemecatan Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dari Umno, begitu juga Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Terengganu, Umno, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Lain