suria

Operasi SAR Di Tapak Runtuhan Jalan Bangsar Dihentikan

Keadaan struktur binaan yang runtuh ketika tinjauan fotoBERNAMA berhampiran Apartmen Abdullah Hukum di Jalan Bangsar, petang Rabu.

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan runtuhan sebuah bangunan dan jejambat dalam pembinaan berhampiran Apartmen Abdullah Hukum di Jalan Bangsar petang Rabu dihentikan pagi Khamis.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Ruhisha Haris berkata operasi itu ditamatkan setelah pihaknya berpuas hati tiada lagi mangsa yang tertimbus di kawasan runtuhan itu.

"Operasi mencari mangsa lain yang mungkin tertimbus ditamatkan pada 11 pagi Khamis selepas operasi secara menyeluruh dijalankan menggunakan khidmat dua anjing pengesan.

"Sehingga kini tiada sebarang penemuan atau petanda mengenai mangsa yang dikatakan tertimbus petang semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Ruhisha berkata operasi SAR pada Khamis melibatkan 68 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Insiden runtuhan kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan seorang pekerja kontrak warga Vietnam berumur 21 tahun maut manakala lima lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor dilaporkan berkata seorang lagi pekerja warga Bangladesh dikhuatiri turut tertimbus dan operasi SAR dilakukan sejak petang Rabu. - BERNAMA

SAR, runtuhan jejambat

Artikel Lain