IPOH: Seorang doktor didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membuat perakuan palsu dalam borang permohonan lesen vokasional Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) L8, tiga tahun lalu. Hakim S.Indra Nehru turut memerintahkan tertuduh Dr R. Pathmanathan, 55, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu. Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 5 Januari lalu atas pertuduhan membuat perakuan memeriksa seorang individu bagi memperbaharui lesen memandu Kelas D untuk memandu kenderaan perkhidmatan awam, sedangkan tiada pemeriksaan kesihatan dibuat. Dr Pathmanathan didakwa membuat perakuan palsu dalam borang permohonan atas penama Mohd Saiful Baqhtiar Mohd Rohaizat di Kumpulan Poliklinik Manjung Sdn Bhd No. 2446 Taman Samudera, Bandar Seri Manjung dekat Manjung. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Mac 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahidah Jalalluddin memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius. Peguam Datuk V Manokaran, yang mewakili tertuduh, memohon supaya anak guamnya hanya dikenakan didenda. - BERNAMA