suria

Zahid Tegur Parti Komponen, Jangan Tuding Jari Sesama Sendiri

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak bertelagah dan menuding jari sesama sendiri untuk meraih undi di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti komponen perlu mempunyai sifat kebersamaan untuk membantu memenangkan calon BN.

“Kita mempunyai ahli parti masing-masing, oleh itu DNA dan ahli setiap parti perlu dijaga untuk memastikan sokongan diberi kepada setiap calon BN yang bertanding.

"Kita perlu pastikan DNA yang dimiliki setiap parti itu menyokong BN, bukan parti lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Naib presiden Umno yang menggalas tugas timbalan presiden itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyatakan bahawa parti-parti komponen BN tidak harus dipersalahkan kerana trend pengundian masyarakat Cina.

Tiong Lai berkata, semua parti komponen bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya dan keputusan yang terhasil adalah daripada usaha bersama semua pihak.

“Jadi ini harus difahami atas rasa kebersamaan antara parti-parti komponen BN.

“Kita tidak perlu menuding jari tetapi saya fikir kita mesti mengambil beberapa langkah positif untuk berada di dalam satu pemikiran bahawa siapa sahaja yang dicalonkan mewakili BN, semua jentera parti harus bekerjasama dengan kuat untuk memperkasakan semua calon kita untuk kemenangan,” katanya yang juga Menteri Pengangkutan itu.

Tambah Zahid lagi, beliau telah meminta supaya semua parti komponen untuk bekerja sekuat Umno ketika perasmian tiga sayap dan yakin akan berlaku perubahan drastik selepas seruan itu dibuat.


“Kami yakin mereka bekerja kuat, sekuat Umno bukan sahaja di kawasan yang mereka diberi peluang untuk bertanding , tetapi mereka juga terus membantu calon-calon BN di kawasan lain.

“Ini telah kami bincangkan dengan presiden dan ketua sayap masing-masing dalam komponen parti BN dan  saya yakin akan terdapat  perubahan drastik untuk mereka bekerja sekuat umno,” katanya.

Mengulas isu sama, Hishammuddin berkata, parti komponen dalam BN tiada pilihan dalam isu ini kecuali menyelaraskan tindakan masing-masing.

“Sebenarnya kita tak ada pilihan untuk berdepan pilihan raya, suka tak suka kita kena selaraskan tindakan kita dan itu telah kita lakukan dari dulu lagi,” katanya.
Zahid, PAU, Umno, MCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain