suria

Kes Tembak: KSN Puji Niat Murni Jurukamera RTM

Mohamad Amirul dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang selepas menjalani pembedahan pada Jumaat. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengucapkan tahniah dan memuji sikap murni jurukamera RTM, Muhamad Amirul Amin Amir, yang tercedera susulan niatnya mahu membantu individu dalam kesusahan. 

Pada kejadian lewat petang Khamis, Muhamad Amirul yang sedang menunggang motosikal bersama rakannya, Mohamad Iskandar Osman menuju ke Tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, cedera ditembak di bahagian bahu dalam satu insiden tembakan berhampiran Pusat Komersial E-Gate, Pulau Pinang.

Ali berkata beliau dimaklumkan bahawa Muhamad Amirul dan Mohamad Iskandar memberhentikan motosikal mereka di kawasan kejadian kerana mahu melihat kejadian yang disangkakan kemalangan namun telah ditembak oleh individu tidak kenali.

"Niat beliau apabila melihat kemalangan adalah ingin membantu dan itu adalah sikap seorang penjawat awam yang prihatin, mahu membantu orang tanpa memikirkan risiko yang terlibat.

"Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana ingin membantu orang walaupun telah tercedera dan mendoakan agar beliau segera sembuh," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara bersama para pegawai JUSA pada Jumaat.

Ditanya sama ada terdapat sebarang bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada Muhamad Amirul, Ali berkata perkara itu akan dibincang terlebih dahulu bersama pihak kementerian dan mereka yang berkenaan memandangkan kejadian itu berlaku ketika jurukamera itu sedang bertugas.

Muhamad Amirul yang cedera di bahu selamat menjalani pembedahan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Keadaannya dilaporkan stabil. 

Dalam insiden kira-kira 7.15 malamKhamis, tiga lelaki - Datuk Ong Teik Kwang, 32, Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming, 32, - maut manakala empat lagi, termasuk Muhamad Amirul, cedera ditembak.

Ong yang memandu kereta BMW dilapor ditembak di leher dan mati di tempat pemandu manakala Choi juga mati di dalam keretanya dipercayai terkena peluru sasar. Senthil pula ditembak di tepi jalan itu kira-kira 50 meter dari kereta BMW milik Ong.   

Dua lelaki direman tujuh hari mulai Jumaat bagi membantu siasatan kesberkenaan. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain