KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berkunjung ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, ditawarkan sepasang baju-T percuma sekiranya mereka mendaftar sebagai pengundi. Tawaran ini dibuka oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 yang akan berakhir pada Sabtu. Sukarelawan promosi, Nural' Ain Mohammed Nasib berkata, tawaran istimewa selama tiga hari itu, bermula 30 November hingga 2 Disember ini dibuka bagi menggalakkan orang ramai menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk berdaftar sebagai pemilih. "Walaupun ada yang sudah mendaftar sebagai ahli Umno, kita dapati ramai juga di antara mereka belum mendaftar sebagai pengundi. "Sepanjang tiga hari, kita menjalankan promosi dengan menawarkan baju-T percuma untuk sesiapa sahaja yang membuat pendaftaran di sini," katanya ketika ditemui di ruang legar aras 1 PWTC di sini, Jumaat. Nural' Ain berkata, promosi yang masuk hari kedua ini mendapat sambutan menggalakkan daripada bukan sahaja ahli Umno yang menghadiri persidangan, tetapi juga orang awam. Katanya, kebanyakan mereka yang datang adalah pengundi muda berusia bawah 40 tahun. Selain kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kaunter pendaftaran keahlian Umno turut dibuka kepada orang ramai.