ALOR SETAR: Seorang mekanik bercadang mengambil tindakan undang-undang setelah mendakwa dipukul dengan teruk oleh anggota polis sehingga mengakibatkan kecederaan serius, awal bulan lepas. Muhammad Zul Farhan Zulkifli, 23, berkata kejadian berlaku pada 6 November lepaskira-kira 3.30 petang ketika dia sedang mengecat motosikal rakannya di sebuah rumah di Taman Awana, dekat sini, sebelum didatangi sebuah van polis. "Pada mulanya saya dan dua rakan lelaki lari kerana terkejut apabila tiba-tiba diserbu oleh sekumpulan individu yang kami tidak kenali, katanya. "Namun selepas mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kami berhenti dan menyerah diri, namun saya dipukul dan dipijak oleh beberapa anggota polis terlibat," katanya kepada pemberita di rumahnya di Alor Merah, pada Ahad. Kejadian itu mengakibatkan Muhammad Zul Farhan cedera pada jari kelingking kiri, paha, punggung dan mata kanan. Beliau berkata, dalam keadaan tangannya bergari, dia turut dipukul dengan teruk setelah dibawa masuk dalam van polis yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar. "Mereka mendakwa saya ditahan ekoran kes samun dan meminta saya mengaku...saya jawab tak tahu lalu seorang anggota bertindak memukul saya dengan wayar kabel elektrik tanpa belas kasihan walaupun saya merayu tidak dipukul. "Pada masa yang sama anggota lain turut menumbuk dan memijak saya," katanya. Zul Farhan berkata keesokan harinya, dia dibawa ke mahkamah Alor Setar untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 10 November,sebelum meminta untuk dibawa ke hospital setelah kulitnya menggelembung dan bernanah, namun tidak dibenarkan. "Saya tidak mendapat rawatan sehinggalah pada pada 8 November barulah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebelum dibebaskan sebaik pulang dari hospital dengan jaminan polis lebih awal. "Selepas beberapa hari di rumah keadaan luka bertambah teruk sehingga menyebabkan kulit terkena jangkitan kuman dan semakin merebak dan bernanah,"katanya. Ibu mangsa, Jamaliah Saad, 50, berkata selepas melihat keadaan anaknya, dia pergi membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati anaknya dipukul secara keterlaluan. Katanya, kecederaan yang dialami anak kedua dari empat beradik itu terlalu teruk dan mahu polis menyiasat mengenai kejadian itu. "Setiap malam anak saya menangis tak boleh tidur kerana sakit, dia kena ambil ubat tahan sakit barulah boleh tidur, saya tak faham kenapa dia dipukul dan diseksa sampai begini sekali. "Tak salah nak soal siasat atau nak pukul tapi biarlah berpada-pada, saya difahamkan si pengadu yang membuat laporan juga ditahan kerana membuat laporan palsu dan merasakan anak saya seperti sudah teraniaya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya akan membuat siasatan terperinci mengenai dakwaan itu. "Dakwaan ini amat memalukan polis Kedah...jika benar kita akan jalan siasatan terperinci," katanya. -Bernama