PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) sahkan pihaknya menambah dua penerbangan bagi menangani masalah lebih 2,000 jemaah umrah rakyat Malaysia yang terkandas di Kuala Lumpur dan Madinah sejak Ahad lalu. Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan pada petang Rabu memberitahu, dua penerbangan tambahan itu menggunakan pesawat A380 masing-masing pada 5 dan 7 Disember. Menurut MAS, lebih banyak penerbangan lagi dijadualkan dalam tempoh beberapa hari lagi. "Perkhidmatan sewa khas MAS antara Kuala Lumpur dan Madinah disambung semula hari ini (Rabu) dengan penerbangan MH8211D yang berlepas dari Lapangan Terbang Putera Mohammad Abdul Aziz pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. "Ia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 9.55 malam ini," katanya. Menurut syarikat itu, satu lagi penerbangan berlepas dari KLIA pada pukul 3.15 petang Rabu dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 7.15 malam waktu tempatan. Kenyataan itu bagi menjelaskan kelewatan penerbangan disebabkan sebuah pesawat yang perlu menjalani penyelenggaraan tidak berjadual untuk pembaikan segera disebabkan isu teknikal. "Kami kesal kerana rancangan perjalanan jemaah terjejas dan mendoakan keselamatan mereka. "Keselamatan penumpang dan anak kapal amat diutamakan," jelas MAS. Terdahulu, mStar Online telah melaporkan mengenai dua penerbangan yang disewa khas MAS untuk membawa sebahagian jemaah yang terkandas di Kuala Lumpur dan juga Madinah.