TASEK GELUGOR: Lima pelatih lelaki Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Kampung Selamat di sini, melarikan diri dari pusat berkenaan awal pagi Rabu. Kelima-lima mereka dikenali sebagai Muhammad Khairul Hafiz Busu, 29, Muhd Zuhairi Azrin Mohd Zuki, 26, Hairol Hisam Abdul Hamid, 37, dan Bukhari Yusof, 41, masing-masing dari Langkawi, Kedah serta Mohd Ariff Mohd Maamor, 25, dari Pokok Sena, Kedah. Timbalan Pengarah Keselamatan CCRC Kampung Selamat, Nasruddin Abdul Rahman berkata mereka dilaporkan hilang selepas didapati tiada dalam bilik masing-masing ketika pemeriksaan dibuat kira-kira pukul 6 pagi ini. Katanya warden pusat pemulihan itu membuat pemeriksaan di bilik mereka setelah mendapati lima pelatih tersebut tidak hadir ke surau untuk solat subuh berjemaah. "Lima pelatih itu baru masuk ke CCRC Kampung Selamat sebulan lepas dan berdasarkan siasatan, mereka dipercayai meloloskan diri dengan memanjat pagar keselamatan di belakang pusat," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu. Nasruddin berkata pemeriksaan juga mendapati ada kesan darah di pagar keselamatan yang dipercayai tempat pelatih tersebut meloloskan diri. Katanya usaha mengesan lima pelatih itu giat dijalankan termasuk mencari mereka di rumah masing-masing. Pihaknya percaya mereka masih berada di sekitar negeri ini, katanya. Beliau turut meminta kerjasama orang ramai agar tidak memberi perlindungan kepada mereka dan segera menghubungi polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang atau CCRC Kampung Selamat di talian 04-4969001, jika mempunyai sebarang maklumat.-- Bernama