suria

Rainbow Skywalk Tarikan Terbaharu Di Pulau Pinang

Richard dan Jean ketika menikmati pemandangan memukau sekitar Pulau Pinang dari Rainbow Skywalk yang akan dibuka secara rasmi pada 18 Disember ini.

GEORGE TOWN: Hanya beberapa individu bertuah berpeluang menjejakkan kaki ke aras 68 iaitu di bumbung bangunan Komtar sejak ia siap dibina kira-kira tiga dekad lalu.

Kini, aras itu telah diubahsuai dan dilengkapi dengan laluan gantung berlantai kaca tertinggi di negara ini.

Dikenali sebagai Rainbow Skywalk, ia merupakan laluan gantung berlantai kaca berukuran 16 meter panjang yang dibina pada tingkat tersebut.

Pastinya ia menjanjikan pengalaman menyeronokkan, tetapi tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat.

"Kami lihat ramai pengunjung yang terketar-ketar untuk berjalan di laluan berkaca itu. Ada di antara mereka yang tidak berani mencubanya.

"Namun ramai yang menyukainya. Anda boleh berbaring dan berswafoto dengan berlatarbelakangkan bangunan kecil. Ia peluang yang tidak boleh dilepaskan," kata Ketua Pegawai Operasi Only World Group (OWG) , Datuk Jean Koh.

Kaca kalis haba, tahan pecah, berlamina dan jenis kaca sama yang digunakan dalam pembinaan Grand Canyon Skywalk di Amerika Syarikat (AS).

Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan ujian getaran, angin dan pendulum ke atas laluan gantung berlantai kaca tersebut bagi menguji daya ketahanannya.

Dari bawah, anda boleh melihat Rainbow Skywalk jika anda berdiri dekat persimpangan Jalan Penang, Jalan Macalister dan Jalan Datuk Keramat.

Bumbung lama pada tingkat ke-65 bangunan tersebut pernah dijadikan sebagai landasan untuk helikopter.

Namun OWG membina tiga lagi tingkat tambahan dan mentransformasi bumbung tersebut sebagai lokasi tarikan pelancongan.

"Komtar menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang. Ia pernah menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara. Kali pertama kami naik ke atas, pemandangan begitu memukau dan kami mula berfikir bagaimana cara untuk membolehkan orang ramai menikmati perjalanan mereka sehingga ke puncak," katanya.

Ia akan dibuka secara rasmi pada 18 Disember dengan banyak lagi tarikan sedang dibina di atas bumbung tersebut.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif OWG, Datuk Seri Richard Koh enggan mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih lagi menjadi rahsia.

"Keseronokan terbaik di dunia perlu ada kejutan. Jika saya beritahu segala-galanya, anda akan tahu apa yang bakal berlaku apabila sampai ke puncak.

"Namun, selain laluan gantung berlantai kaca itu, anda berpeluang untuk duduk di kerusi paling bertuah di dunia di atas sana nanti," katanya.


Rainbow Skywalk, Komtar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain