suria

Dugaan Kulit Kering Ketika Cuaca Dingin

ASSALAMUALAIKUM. Tatkala ini, Tanah Suci Makkah dan Madinah semakin dibanjiri umat Islam seluruh pelosok dunia. Rakyat negara ini juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan cuti panjang pada November dan Disember untuk membawa keluarga mengunjungi kedua-dua kota suci itu.

Walaupun harga pakej umrah dan ziarah agak tinggi pada hujung tahun, ia bukan menghalang umat Islam di negara ini untuk menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi makam Rasulullah S.A.W. Ramai yang memilih hujung tahun kerana memikirkan cuaca dingin terutama di Madinah Munawarah.

Saya juga pernah membawa anak-anak ke Tanah Suci pada Disember dan ingin sekali berkongsi pengalaman itu dengan pembaca yang bakal berangkat sebagai tetamu Allah, insyaAllah.

Pada pertengahan Disember 2013, saya berangkat ke Tanah Suci bersama keluarga menerusi pesawat Saudi Airlines. Saya tidak mengikuti pakej penuh yang ditawarkan oleh sebuah agensi pengendali umrah tempatan Saya hanya membeli tiket penerbangan dan menyerahkan urusan visa kepada agensi berkenaan.

Sebelum berangkat, seperti biasa, saya tetap mengikuti kursus umrah. Biarpun sering ke Tanah Suci, saya meluangkan masa untuk mengikuti kursus dianjurkan oleh agensi pengendali umrah yang menguruskan visa saya sekeluarga.

Bagi saya, tidak rugi mengikuti kursus umrah kerana tentu sekali setiap pembimbing ibadat umrah mempunyai panduan atau tips tersendiri dan dikongsi bersama-sama bakal tetamu Allah SWT.

Tiba masanya, berangkatlah kami ke Tanah Suci. Penerbangan ke Jeddah dan seterusnya kami dibawa ke Madinah. Perjalanan ke penginapan berjalan lancar. Tiba di Madinah, bas berhenti di depan Hotel Jawharat Fayroz.

Jam di dalam bas menunjukkan 2.30 pagi waktu tempatan. Saya terus menyarung sweater berwarna krim sejurus melihat suhu ketika itu adalah 5 darjah Celcius. Sejurus turun dari bas, terasa sangat dingin. Itu adalah kali pertama saya terasa kedinginan Madinah.

Saya pernah ke Tanah Suci pada awal tahun iaitu sekitar Februari tetapi tidaklah sedingin itu. Sejuk sungguh, bisik hati kecil saya dan menasihatkan anak-anak agar segera menyarung sweater. Si bongsu tidak mengendahkan kata-kata saya kerana dia memang gemarkan kedinginan dan hanya tersenyum girang.

Sejurus 31 jemaah lain memasuki hotel penginapan Jawharat Fayroz, saya dan keluarga menuju ke Hotel Mubarak Madinah yang hanya beberapa langkah dari Jawharat Fayroz. Suami memberi nombor tempahan bilik dan kakitangan hotel berkenaan terus memberi kunci bilik. 

Sejurus menyelak langsir dari bilik penginapan, saya terlihat rakan jemaah yang lain masih keletihan setelah mengharungi perjalanan yang panjang berkumpul di lobi hotel Jawharat Fayroz. Mungkin ada sedikit masalah yang perlu diselesaikan, detik hati kecil saya.

Kami berehat seketika sementara menunggu azan Subuh. Saya tidur-tidur ayam. Sejurus terdengar azan pertama berkumandang, saya terjaga dan membuka beg pakaian untuk membersihkan diri. Saya turut mengejutkan anak-anak dan suami.

“Nanti Hajar duduk di perkarangan masjid ok. Jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai umi datang lepas habis solat Subuh,” ujar saya pada Hajar yang masih uzur.

“Umi jangan lambat tau,” pesan Hajar.

“Ye, insyaAllah,” balas saya.

Anak bujang dan suami melangkah ke masjid terlebih dulu. Tidak lama selepas itu, saya berjalan bersama-sama Hajar namun tiba di depan hotel Jawharat Fayroz, saya terlihat beberapa wanita duduk di sofa lobi.

“Hajar duduk dengan jemaah lain boleh tak?” pinta saya.

“Malulah umi. Nanti semua orang tahu kita tak boleh solat,” ujar Hajar pula.

“Ala apa nak malu. Itu biasalah, orang perempuan. Orang lain fahamlah,” kata saya lagi.

Hajar malu-malu sejurus melangkah masuk ke lobi hotel dan saya meminta jemaah wanita yang lain menengok-nengokkan dia kerana saya mahu ke masjid. Mereka tersenyum melihat Hajar dan menyuruh Hajar duduk di sofa lobi berkenaan.

Saya berjalan pantas ke Masjid Nabawi. Dingin begitu mencengkam. Saya yang tidak gemar memakai pelembap muka membiarkan muka saya terdedah digigit angin sejuk.

Selepas sarapan, kami sekeluarga berjalan-jalan di sekitar masjid. Saya hanya menyapu bedak bayi dan bukan pelembap. Sekembali ke hotel sekitar jam 10 pagi, saya terasa gatal-gatal pada kulit wajah saya.

Terasa hendak menggaru tetapi saya tahan. Esoknya, ziarah luar bermula. Kami ke masjid Quba, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud dan akhir sekali ke ladang tamar. Cuaca sungguh nyaman. Sesekali angin sejuk berhembus kedinginan.

Tiba di hotel penginapan dan meletakkan semua barangan yang dibeli di kebun tamar, seorang demi seorang memasuki bilik air untuk bersiap-siap ke masjid untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah.

Sejurus saya berwuduk, muka saya terasa pedih dan perit. Saya berasa tidak selesa dan kulit kelihatan kering. Itu semua akibat tidak menggunakan pelembap wajah.

Saya tidak mengeluh dan bertekad untuk mencari pelembap di farmasi berhampiran sejurus pulang dari Masjid Nabawi. Saya maklumkan pada suami. Usai solat Zuhur, saya membawa Hajar ke farmasi berhampiran. Tiba di farmasi saya melihat pelbagai jenama produk pelembap. Rambang mata dibuatnya.

“Muka saya sangat kering dan terasa sakit waktu disapu air. Apa yang sesuai untuk dipakai?” tanya saya pada ahli farmasi.

“Cuba minyak zaitun. Tiada kesan sampingan jika wajah anda sensitif,” balas beliau.

“Berapa harga satu botol?” tanya saya lagi.

“SR20 satu botol. Ia baik untuk kulit muka. Yang ini untuk rambut,” ujar beliau lagi.

“Saya beli untuk wajah saja,” balas saya.


Sejurus kembali ke hotel dan menikmati hidangan tengah hari, saya naik ke bilik penginapan. Saya mencuci muka dengan air dan tidak lagi menggunakan pencuci muka yang sering saya gunakan di tanah air.

Setelah berehat seketika, kami bersiap pula hendak ke masjid lagi bagi menunaikan solat Asar. Saya mengambil wuduk dan sekali lagi terasa perit serta pedih. Sejurus keluar dari bilik air dan membiarkan wajah kering dengan sendiri, saya mencapai minyak zaitun yang baru dibeli.

Saya oleskan pada wajah dan ratakan di seluruh muka. Selepas itu terus menyarungkan telekung untuk ke masjid. Begitulah saban hari sehingga tiba di Makkah.

Pada waktu malam, sebelum tidur saya oleskan minyak zaitun lebih banyak dan menyeluruh pada wajah. Saya hanya memakainya dengan banyak pada waktu malam kerana waktu siang akan menampakkan muka yang berminyak.

Saya tidak memakai pencuci dan hanya menggunakan minyak zaitun saja, terutama sebelum keluar ke masjid atau berziarah.

Hakikatnya, memang seronok menunaikan umrah ketika musim dingin tetapi kesihatan kulit perlu dijaga rapi, terutama mereka yang memiliki kulit sensitif. Jemaah lelaki juga tidak terkecuali kerana masalah tumit pecah lebih ketara pada musim dingin.

Jika masalah ringan ini tidak ditangani segera, sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan kelancaran ibadat umrah dan ziarah anda ke bumi Haramain.

Justeru, jaga kesihatan diri dan bawalah pelembap dari tanah air sebagai persiapan awal sebelum melangkah ke Tanah Suci pada hujung tahun dan awal tahun.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain