suria

Malaysia-Singapura Meterai Perjanjian HSR

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di sini, Selasa.

Antara lain perjanjian itu memuktamadkan mengenai beberapa aspek termasuk teknikal, keselamatan, komersial, pembiayaan dan rangka kerja perundangan.

Hadir menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan di Bangunan Perdana Putra.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean (kiri).

Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai projek HSR pada 19 Julai tahun ini untuk membuka jalan bagi projek tersebut yang membolehkan pelancong tiba di destinasi akhir antara kedua-dua bandaraya dalam masa hanya 90 minit.

Kerja-kerja pembinaan landasan kereta api sepanjang 350 kilometer itu akan bermula tahun depan dan beroperasi pada 2026, untuk meningkatkan kesalinghubungan, mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat dan memperbaiki hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.

Keseluruhannya ia mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, dan Singapura.


HSR, Malaysia-Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Lain