PETALING JAYA: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bergelar Datuk Seri di sebuah syarikat pembekal minyak kapal terbang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas pertuduhan pecah amanah lebih RM300,000. Datuk Seri Anuar Ghazali, 46, didakwa sebagai orang yang diamanahkan dengan lima keping cek syarikat berjumlah RM306,000 dengan curangnya melakukan pecah amanah cek itu dengan cara yang salah. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat Carrier Corp Petroleum Sdn Bhd, D-09-10, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara di sini antara 8 pagi hingga 5 petang, pada 26 November hingga 23 Disember tahun lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Peguam Ahmad Zahid Abu Hashim yang mewakili Anuar memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga. Hakim Azwarnida Affandi membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jan untuk sebutan semula kes.-- Bernama