JAKARTA: Nasib kesemua 13 pendaki Malaysia yang terperangkap di Gunung Loser di Aceh termasuk seorang yang diserang hipotermia masih belum diketahui sehingga sekarang. Pengarah Urusan Global Communication Center (GCC) Malaysia, Mustaqim Mustaza memberitahu Bernama pihaknya masih belum mendapat maklumat lanjut ekoran perhubungan antara pasukan mencari dan menyelamat dengan pusat komunikasi di Base Camp Jalur Kedah di gunung itu setakat ini masih terputus. Sebanyak 12 orang dilaporkan terperangkap di Kem Bipak Kaleng pada ketinggian 2,972 meter manakala ketua pendaki Khairil Aslan Ab Rasid pula terperangkap di ketinggian 3,404 meter. GCC menjadi koordinator secara ihsan untuk operasi mencari dan menyelamat. Khairil dikatakan berada di kawasan yang lebih tinggi setelah terpaksa menempuh ribut untuk mendapatkan isyarat telefon dan beliau tidak dapat turun kerana cuaca semakin buruk dengan suhu mencapai satu darjah Celcius.Mustaqim memberitahu anggota pendaki yang dilaporkan tenat akibat hipotemia itu dikenali sebagai Ahmad Nazit Rashid, 40, dari Simpang Teluk Teduri, Kedah. Ahmad Nazit dan 12 lagi pendaki termasuk tiga wanita menyertai Ekspedisi Unity Trans-Lung 2016 untuk mendaki gunung itu, yang diketuai Khairil seorang pendaki solo profesional. Kumpulan Ekspedisi Unity Trans-Lung 2016 itu berlepas ke Medan pada 1 Disember 2016 dan dilaporkan tiba di Base Camp Jalur Kedah di gunung itu pada 2 Disember setelah 20 jam perjalanan darat dari Medan melalui kawasan bukit Tanah Karo. Mustaqim berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, setelah seminggu membuat pendakian ke puncak Gunung Loser, kumpulan itu tiba dan berehat di Kem Bipak Kaleng dengan ketinggian 2,972 meter dalam keadaan cuaca buruk. "Mereka terpaksa berhenti rehat akibat cuaca buruk tetapi secara tiba-tiba seorang daripada rakan mereka iaitu Ahmad Nazit mengalami hipotermia iaitu kekejangan perut dan suhu badannya jatuh mendadak manakala degupan jantungnya menjadi lemah," katanya. Katanya, disebabkan keadaan Ahmad Nazit yang semakin kritikal, Khairil Aslan bersama tiga pembantu rakyat tempatan nekad merempuh cuaca buruk itu bagi mendaki ke puncak gunung agar dapat membuat panggilan bantuan kecemasan. Beliau berkata, kesemua 12 anggota ekspedisi lain berteduh di Kem Bipak Kaleng dengan ditemani oleh enam rakyat tempatan yang bekerja sebagai pemandu pendakian. Pada 10 Disember, iaitu selepas dua hari meneruskan pendakian ke puncak, Khairil kemudian berjaya sampai ke ketinggian 3,404 meter dan membuat panggilan kecemasan pada pukul 6.30 petang waktu Malaysia dengan menghubungi GCC di Kuala Lumpur. "Kami menerima panggilan kecemasan dari Khairil yang memaklumkan kecemasan kumpulan pendakinya di Kem Bipak Kaleng dan beliau meminta kami menjadi koordinator bagi Operasi Mencari dan Menyelamat," katanya. Katanya, pihak GCC terus menghubungi Badan SAR Nasional (Basarnas) di Jakarta dan memaklumkan mengenai kejadian itu sebelum dihubungkan dengan Basarnas di Aceh. Pasukan mencari dan menyelamat dari Badan SAR Nasional (Basarnas) pula terpaksa menggunakan jalan darat dengan mendaki gunung itu kerana tidak dapat menggunakan helikopter ekoran cuaca buruk. Pasukan SAR itu menjangkakan sampai ke kawasan kem Bipak Kaleng pada hari ini tetapi bagaimanapun sehingga waktu ini masih belum ada sebarang maklumat terkini kerana dipercayai pasukan itu juga mengalami masalah perhubungan. Mustaqim berkata, pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Medan telah menubuhkan Pusat Komunikasi Sementara Malaysia di Base Camp Jalur Kedah di gunung berkenaan bagi memudahkan sebarang urusan komunikasi. Pusat Komunikasi sementara ini juga akan menjadi pusat berkumpulnya waris dan anggota keluarga semua pendaki terlibat. Berikut adalah senarai nama pendaki Malaysia yang dilaporkan terperangkap di Gunung Loser itu: 1. Khairil Aslan Ab Rasid, 41 (Bangi Lama, Selangor). 2. Muhammad Najman Harith Khairil Aslan, 16, (Bangi Lama, Selangor). 3. Ahmad Nazit Rashid, 40, (Simpang Teluk Teduri, Kedah) 4. Fitrizan Azizan, 34, (Alor Mengkudu, Kedah) 5. Nor Azizah Ahmad (P), 33, (Kuala Kurau, Perak) 6. Siti Aminah Bakar (P), 38, (Ipoh, Perak) 7. Norimah Zakaria (P), 40, (Puchong, Selangor) 8. Asmirul Faizal Arifin, 36, (Shah Alam, Selangor) 9. Mohd Khairul Adi Ahmad Shansuri, 29, (Teluk Intan, Perak) 10.Noor Adi Fawwaz Jamaludin, 29, (Jitra, Kedah) 11.Mohd Aminulzahid Abd Rahman, 34, (Gombak, Selangor) 12.Muhamad Asri Ashari, 34, (Sungai Petani, Kedah). 13 Muhammad Ariff bin Jamaludin (Ampang Jaya, Selangor) --Bernama