KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencadangkan supaya pihak yang gagal membayar cukai atau dengan sengaja melambatkan pembayaran cukai supaya disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, perkara itu sedang dibincangkan dengan Bank Negara. "Setakat ini kami hanya menghalang mereka (pengelak cukai) daripada meninggalkan negara ini. "Kami sedang meningkatkan proses penyenaraian itu kerana tidak mahu bertindak sewenang-wenangnya menyenaraikan mana-mana pengelak cukai di bawah CCRIS. "Sebaik sahaja nama-nama itu berada dalam senarai, mereka akan berhadapan masalah menjalankan perniagaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Khamis. Sabin menambah bahawa mereka yang disenaraikan dalam CCRIS akan terikat dengan syarat-syarat seperti tidak dapat membuat pinjaman bank.