ALOR SETAR: Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah dalam majlis penuh istiadat di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, Khamis. Istiadat pemasyhuran pelantikan serta menjunjung duli itu diadakan sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu. Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini,Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November tahun lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan. Pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun. Tunku Sallehuddin, yang juga adinda Sultan Kedah, melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Kedah. Tunku Sallehuddin kemudian melafaz sumpah dan menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda yang turut disaksikan Ketua Hakim Syarie Negeri Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah. Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan istiadat itu disusuli dengan paluan nobat dan sembilan das tembakan meriam. Timbalan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Marwazi Dziyauddin kemudian membaca doa bagi memohon keberkatan majlis. Istiadat pemasyhuran itu turut dihadiri Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan beberapa kerabat Diraja lain. Tunku Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff. Mereka dikurniakan dua putera. Baginda diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Disember lalu. Jemaah Pemangku terbubar secara sendiri apabila Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Berperwatakan lembut namun tegas, Tunku Sallehuddin merupakan anakanda ke-9 daripada 14 putera dan puteri Sultan Kedah ke-26, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958. Melalui minat yang mendalam dalam bidang ketenteraan, Tunku Salehuddin telah memilih menjalani latihan kadet dan dihantar ke India menjalani kursus ketenteraan di Indian Military Academy di Dehra Dun bermula dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963. Setelah kembali ke tanah air, Tunku Salehuddin ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Feb 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang perkhidmatan, baginda terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak. Tunku Sallehuddin menyandang beberapa jawatan penting antaranya Canselor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Yang Dipertua, Majlis Agama Negeri Kedah.