MELAKA: Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 192.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal pagi Ahad. Mangsa yang maut dalam kejadian 4.30 pagi itu ialah pemandu kereta Perodua Myvi, B. Kishankumar, 23, dan penumpang Toyota Wish yang juga warga Taiwan, Hsieh Huang Shiang, manakala penumpang Toyota Innova Muhammad Faiq Amri Ramlan cedera parah. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Pemangku Supt Mohd Sham Abdullah berkata Kishankumar maut di tempat kejadian manakala Hsieh meninggal dunia ketika dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka. "Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Innova dipandu Ramlan Mohd Ali, 51, yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan tengah setelah melanggar objek. "Kenderaan berkenaan kemudian dilanggar Toyota Wish dipandu seorang pemandu pelancong Kek Chian Seng, 36, yang datang dari arah sama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad. Beliau berkata Amiruddin Abdullah, 47, dari arah sama sempat memberhentikan lori dipandunya, namun dilanggar Perodua Myvi yang dipandu Kishankumar. Katanya mayat Kishankumar dan Hsieh dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala Amiruddin, Ramlan dan Kek tidak mengalami sebarang kecederaan.