KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk serangan pengebom bunuh diri di luar kem tentera daerah Khor Maksar, Aden, Yaman pada Ahad. Wisma Putra dalam kenyataannya berkata serangan yang mengorbankan 52 orang dan mencederakan 84 yang lain itu adalah tindakan kejam dan berharap pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan. Malaysia juga merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Yaman serta keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan berkenaan. Menurut kenyataan itu, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman akan terus memantau keadaan di Yaman dari semasa ke semasa. Dalam insiden itu, seorang pengebom bunuh diri dilaporkan telah meletupkan dirinya di luar sebuah kem tentera, menyebabkan 52 anggota tentera terbunuh. Menurut laporan itu, serangan berlaku ketika anggota tentera beratur untuk mengambil gaji. - BERNAMA