KEMAMAN: Dua maut manakala dua lagi terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di KM117.1 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambatan Mak Ikar, Kerteh, di sini, Selasa. Dalam kejadian 9.30 pagi itu, menyebabkan mangsa Mohd Zul Hafiz Mohd, 27, dan Mohd Amirul Nazri Alias, 23, maut di lokasi kejadian. Dua lagi penumpang belakang Muhammad Nazirul Iqram Maliki, 20, yang berasal dari Manir cedera di kaki dan tangan serta Abdul Halim Che Adri, 22, dari Kampung Menggabang Telipot cedera di kepala. Difahamkan kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu oleh Mohd Zul Hafiz dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan terbabas, lalu naik ke pemisah jalan sebelum terjunam ke dalam sungai Mak Ikar. Dua mangsa yang cedera berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala Mohd Zul Hafiz gagal diselamatkan akibat tersepit di tempat duduk pemandu. Seorang lagi mangsa yang maut, Mohd Amirul pula ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira 11.06 pagi tadi di bawah kenderaan yang terbalik itu. Ketua Polis Daerah Kemaman,Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. Katanya mayat kedua-kedua mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.