PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah mengabaikan usaha untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi pada 8 Mac 2014. Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sedia maklum tentang Laporan Pertama Prinsip Kajian yang disiarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berhubung misi pencarian tersebut. "Saya ingin mengulangi bahawa aspirasi untuk mengesan pesawat MH370 tidak pernah diabaikan dan setiap keputusan yang dibuat sentiasa melibatkan semangat kerjasama antara tiga buah negara," katanya merujuk kepada Malaysia, China dan Australia. Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, Malaysia perlu menunggu untuk mendapatkan panduan seterusnya daripada laporan berkenaan dalam membantu mengenalpasti lokasi spesifik pesawat yang hilang berkenaan. "Berdasarkan pertemuan peringkat kementerian antara kerajaan Australia, Malaysia dan China pada Julai lalu, ketiga-tiga pihak telah bersetuju untuk mengenalpasti terlebih dahulu maklumat baharu yang lebih sahih dalam misi pencarian tersebut," katanya. Laporan terbaharu ATSB itu disiarkan hasil persidangan yang dihadiri oleh penyiasat insiden udara, pakar penerbangan dan wakil kerajaan di Canberra pada 4 November lalu. Berdasarkan laporan berkenaan, pihak berkuasa Australia menyuarakan keyakinan bahawa bangkai pesawat MH370 tidak berada di Lautan Hindi, lokasi pencarian yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu. Sebaliknya, pasukan penyiasat percaya pesawat itu terhempas berdekatan Arc Ketujuh, kawasan yang terletak di utara zon pencarian. Selain itu, pasukan pencarian mengenalpasti kawasan baharu seluas 25,000 kilometer persegi yang berpontensi menjadi lokasi pesawat tersebut 'bersemadi.