suria

Sindiket Pemerdagangan Orang: Imigresen Selamatkan 59 Warga Bangladesh

Mustafar Ali

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menyelamatkan 59 warga Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang yang tinggal dalam keadaan sesak dan berhimpit di dua kediaman kondominium di Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata premis kediaman tersebut diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen kira-kira 4.30 petang Isnin.

Katanya jabatan turut menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh disyaki sebagai tekong atau ejen yang berperanan menguruskan ketibaan dan membekalkan pekerja kepada majikan di Malaysia.

Turut ditahan dua lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh yang berperanan sebagai  pembantu dan mengawal rumah transit sebelum mangsa dihantar kepada ejen atau majikan, katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.

"Mangsa tinggal di rumah transit dengan keadaan berhimpit dan sesak. Telefon bimbit, pasport serta wang milik mereka turut dirampas dan tidak dibenarkan keluar daripada rumah atau membuat sebarang panggilan telefon," katanya.

Mustafar berkata mangsa turut diancam akan dicederakan sekiranya tidak mengikut arahan atau cuba keluar dari rumah transit.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam aktiviti mencetak  pelekat keselamatan Imigresen palsu, hasil penemuan sebuah komputer, alat pencetak dan pasport-pasport Bangladesh di dalam bilik sebuah daripada premis kediaman tersebut.

Menurutnya, mangsa dijanjikan untuk mendapat pekerjaan di Malaysia dan dikenakan bayaran antara RM18,000 hingga RM20,000 seorang bagi urusan kemasukan ke Malaysia melalui Indonesia.

Katanya mangsa berkenaan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Jakarta dan dibawa ke sebuah lokasi berhampiran pantai sebelum menaiki bot dan diseludup masuk ke Malaysia.

"Semasa di Indonesia, mangsa ditempatkan di sebuah rumah transit dan dikawal rapi oleh sindiket. Mangsa juga tidak dibenarkan keluar dari rumah transit dan segala urusan makan dan  minum diuruskan oleh sindiket," katanya.

Mustafar berkata menurut mangsa, ada di antara mereka yang telah berada selama dua hari hingga tujuh hari di rumah transit berkenaan sehinggalah ada majikan yang sanggup membayar kepada sindiket untuk mendapatkan khidmat mereka.

Katanya mangsa juga mendakwa mereka terpaksa menjual dan menggadai segala harta benda di negara mereka seperti rumah dan tanah bagi mendapatkan wang untuk datang ke Malaysia dan  berasa teraniaya kerana menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Mustafar berkata pihaknya percaya sindiket berkenaan telah lama menjalankan kegiatan tersebut berdasarkan kepada modus operandi yang digunakan dan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan pada November lalu.

"Jabatan Imigresen akan terus memburu dalang-dalang atau mereka yang bersekongkol dalam kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,"katanya.

Beliau berkata hasil penangkapan tersebut dipercayai akan membawa kepada penemuan rangkaian-rangkaian sindiket lain yang bergerak aktif.

"Jabatan Imigresen akan mendapatkan kerjasama daripada negara jiran serta agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk membanteras sindiket penyeludupan migran di peringkat antarabangsa," katanya. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain