suria

Label Anjing Peliharaan, Musa Ancam Saman Raja Petra

Musa Hassan.

PETALING JAYA: Tan Sri Musa Hassan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra Kamarudin yang melabelkannya sebagai anjing peliharaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi perancang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata pengendali portal Malaysia Today itu membuat dakwaan tidak tepat terhadap dirinya dan bekas Peguam Negara Tan Sri Gani dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal tersebut bertajuk "How Mukhriz is going to become PM" pada minggu lalu.

"Dalam artikel itu, beliau mendakwa saya sebagai anjing peliharaan Mahathir dan kami (Musa dan Gani) menjadi perancang kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Ini adalah fitnah dan tiada bukti bahawa wujud konspirasi dalam kes tersebut," katanya pada sidang media di Hotel Shah Village pada Rabu.

Musa turut memberikan Raja Petra tempoh 14 hari untuk menarik keluar artikel berbaur fitnah itu.

Jika gagal berbuat demikian, Musa berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra dan menyamannya kerana menimbulkan fitnah.

"Jika beliau menarik semula artikelnya dalam tempoh 14 hari, saya akan menerimanya. Saya tidak berhasrat untuk membuat wang di sini," katanya.

Musa menegaskan tiada penjawat awam patut digelar sebagai 'anjing peliharaan' kerajaan.

"Kami bukan anjing atau haiwan peliharaan ahli politik. Kami berkhidmat dengan kerajaan yang memerintah untuk menegakkan dasar dan undang-undang negara," katanya.


Artikel Lain