MELAKA: Gara-gara memberi rasuah RM370 kepada seorang pegawai polis, seorang buruh dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini pada Rabu. Hakim Mohd Nasir Nordin turut memerintahkan Tan Wee Kuang dari Pelabuhan Klang, Selangor itu, menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda. Tan, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan secara rasuah memberi suapan RM370 kepada Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli di premis kedai, No 41-1 Jalan SP 1, Taman Semabok Perdana, di sini, pada 7.15 malam, 23 Ogos lepas. Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan untuk membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipal iaitu tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah yang lebih tinggi. Mahkamah memerintahkan Tan menjalani hukuman penjara itu bermula Rabu. Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Ong Cheng Hian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, namun Tan yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung seorang adik yang sakit. - BERNAMA