GEORGE TOWN: Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow membuat gimik apabila melakukan sidang media 'senyap' sebagai simbolik membantah tindakan kerajaan negeri yang cuba menutup setiap kepincangan pentadbiran mereka. Pemberita yang hadir di Ibu Pejabat Gerakan negeri pada Rabu tertanya-tanya mengenai tindakan Teng yang duduk membisu dan memakai topeng mulut. Selepas kesemua pengamal media tiba, beliau akhirnya menanggalkan topeng tersebut sebelum bertindak menampal pelekat berwarna hitam di mulutnya. Kurang tiga minit kemudian, Teng bangun untuk beredar dari majlis sidang media tersebut. Pemberita bergegas mendekatinya dan bertanyakan soalan sebelum beliau akhirnya berbicara. "Hari ini saya yang diugut saman. Esok adalah masa untuk kamu semua (pengamal media) dan disusuli dengan rakyat Pulau Pinang yang mempersoal kepimpinan kerajaan negeri pimpinan DAP," kata Teng. Sidang media 'senyap' itu diadakan bagi membantah ugutan saman dikemukakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terhadap beliau. Dalam kenyataan media sepanjang tujuh perenggan, Teng menyifatkan ugutan saman itu sebagai tindakan terdesak kerajaan negeri untuk menghentikan lebih banyak pendedahan berhubung isu Pulau Jerejak. Menurut Teng, beliau tidak akan berdiam diri, biarpun berhadapan tindakan undang-undang daripada kerajaan negeri. Beliau turut meminta pihak lain untuk terus mempersoal kepincangan kepimpinan kerajaan negeri. "Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menyuarakan pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat dan tidak perlu tergugat dengan tindakan undang-undang yang dihadapi saya. "Saya akan terus dedahkan maklumat mengenai kepincangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu Pulau Jerejak dan urusan lain dalam tempoh terdekat ini," katanya. Guan Eng mengemukakan saman terhadap Teng berhubung komen beliau terhadap perjanjian Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berkaitan sebidang tanah dalam pembangunan di Pulau Jerejak pada bulan lalu.