suria

Aliff Suntik Semangat Bawa Insan Istimewa Tunai Umrah

ASSALAMUALAIKUM. Menunaikan ibadat umrah paling dinantikan oleh setiap umat Islam.

Tanyalah pada sesiapapun, tentu jawapan mereka, sudah menanam niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti.

Biar sibuk, biar semakin dimamah usia dan biar tidak mempunyai wang serta harta melimpah ruah, setiap daripada kita mempunyai niat dan impian untuk menunaikan umrah dan haji apabila berkemampuan.

Rezeki mengunjungi Baitullah amat saya syukuri, hanya kepada Allah SWT saya panjatkan doa memohon agar rezeki ke Tanah Suci berterusan selagi hayat dikandung badan.

Insha Allah, Sabtu ini, saya akan berangkat mengerjakan ibadat umrah bersama-sama tujuh anak istimewa.


Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya apabila seorang sahabat menghubungi saya pada suatu tengah hari dan maklumkan kepada saya bahawa sebuah agensi pengendali umrah di Shah Alam bersetuju untuk menaja anak istimewa.

Syukur, gembira dan terharu. Itulah yang boleh saya gambarkan apabila pemilik agensi pengendali umrah itu bersetuju memberi tajaan kepada enam istimewa.

Seorang lagi anak istimewa mendapat tajaan daripada orang perseorangan dan akan turut menyertai program umrah bersama enam lagi anak istimewa.

Namun, saya perlu berusaha mendapatkan tajaan untuk pengiring anak istimewa bagi merealisasikan hasrat saya membawa mereka.

Tanpa pengiring, usaha membawa anak istimewa tidak mungkin tercapai.

Saya perlu berusaha, perbanyak doa dan tawakal.

Bagaimanapun, saya yakin sumbangan ramai pasti ada, insha Allah. Saya tidak berhenti menghubungi dan menghantar surat memohon sumbangan dan Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan doa ramai, dalam tempoh 25 hari, sumbangan untuk membawa lima pengiring berjaya dikumpulkan.

Gembira bukan kepalang. Lenyap segala kekusutan yang bersarang selama berhari-hari dalam fikiran. Kini, saya memanjatkan doa agar segala urusan perjalanan dan ibadat dipermudahkan.

Mohon doa ramai agar perjalanan kami selamat pergi dan balik.

Dalam kesibukan membuat persiapan ketika ini, saya terkenang menunaikan umrah bersama-sama anak istimewa pada April tahun lalu. Ketika menjemput anak sulung pulang dari kerja, saya maklumkan bahawa saya akan berangkat pada Sabtu tengah hari.


“Umi naik flight apa?” tanya Aliff.

“Naik MAS insha Allah. Kenapa?” tanya saya pula.

“Oh kita ingat umi naik Saudi Airlines,” balas Aliff.

“Naik MAS. Aliff hantarlah umi nanti. Tak payahlah kerja Sabtu,” ujar saya lagi.

“Ok. Naik MAS macam kita pergi dulu (tahun lalu),” ujar Aliff lagi.

“Kita pergi naik MAS ke tu?” tanya saya.

“Iyelah umi. Kita naik MAS,” ujar Aliff lagi penuh yakin.

“Oh ok. Ye kita pergi naik MAS. Baru umi ingat,” balas saya lagi.

Dalam hati kecil saya berkata, Alhamdulillah dia masih ingat. Kuat ingatannya pada sesetengah perkara. Aliff berusia 23 tahun dan dia anak istimewa. Alhamdulillah sudah bekerja di sebuah restoran makanan segera hampir tiga tahun.

Tahun lalu, dia turut menyertai program umrah namun dia menggunakan duit sendiri untuk menunaikan umrah pada tahun lalu.

Masih saya ingat, pertanyaan Aliff pada suatu petang.

“Umi, kita nak ikut umi pergi Makkah.”

“Tak payahlah. Aliff dah pernah pergi,” balas saya.

Dia diam tidak membantah.

Selang dua hari kemudian, dia menghampiri saya lagi.

“Umi, kita nak ikut umi pergi Makkah,” ujarnya.

“Kenapa?” tanya saya lagi.

“Kita nak pergi dengan kawan-kawan kita,” balas Aliff ringkas.

Kata-kata Aliff membuatkan saya berfikir. Memang benar, yang dipilih untuk mengikuti program umrah pada tahun lalu adalah dua rakannya di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa.

“Aliff nak pergi ke?” tanya saya bersungguh sambil memandang wajahnya.

“Kita nak ikut. Nak pergi dengan dengan kawan-kawan,” balas Aliff dengan wajah ceria.

“Kalau Aliff nak pergi, kena guna duit sendiri. Aliff dah kerja. Boleh tak guna duit Aliff?” tanya saya senyum.

“Ambillah duit kita, guna untuk pergi umrah,” balas Aliff lagi.

“Kalau macam tu, nanti umi keluarkan duit Aliff untuk bayar pakej umrah,” ujar saya pula.


Saya lihat Aliff tersenyum gembira dan hampir saban hari akan membangkitkan perihal Tanah Suci, terutama setiap kali sejurus pulang dari kerja. Begitulah Aliff dan sebahagian besar lagi anak-anak istimewa apabila dimaklumkan akan pergi ke mana-mana sahaja.

Hakikatnya, saya banyak belajar daripada Aliff. Sejak kecil saya mendedahkannya kepada masyarakat dan persekitaran. Tidak kira di mana saja. Alhamdulillah, dalam meniti kedewasaan, Aliff semakin berani untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang luar.

Justeru, saya menanam azam untuk membawa anak-anak istimewa mengembara, termasuklah menunaikan ibadat umrah kerana sekali gus ini dapat meningkatkan keyakinan mereka, terutama apabila berhadapan dengan masyarakat.

Berbalik kepada cerita Aliff. Deposit perlu dimasukkan ke dalam bank tetapi disebabkan pada hari berkenaan, kursus umrah dilaksanakan, saya membawa wang tunai RM3,000 untuk diserahkan kepada pihak agensi pengendali umrah. Ketika memasukkan wang di dalam sampul putih selepas menunaikan solat Subuh, hati saya sungguh sebak.

Dalam hati saya berkata-kata, inilah duit gaji Aliff yang mahu digunakan untuk bayaran pakej umrah.

Baki selebihnya perlu dijelaskan sebulan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Hampir menitis air mata saya ketika itu kerana tidak sangka Aliff mampu menggunakan duit sendiri untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Biarpun akal fikirannya keanak-anakan dan dia tidak tahu nilai wang, jauh sekali mengira wang, dia tetap ada keinginan menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan duit sendiri. Alhamdulillah, cita-cita Aliff tercapai untuk menunaikan umrah bersama-sama rakannya setelah lebih satu tahun bekerja di restoran makanan segera.

Perjalanan kami berjalan lancar. Selain tiga anak istimewa dan pengiring dari PDK yang mendapat tajaan penuh, tiga lagi insan istimewa turut menyertai umrah berkenaan, termasuk Aliff.

Biarpun April mulai panas tetapi kedatangan kami disambut dengan cuaca nyaman malah ketika ziarah di sekitar Masjid Nabawi, hujan gerimis dan terasa kedinginan air hujan.


Di Tanah Suci, Aliff gembira mengusik kawan-kawannya, terutama Mustafa. Malah, dia sering menjadi perhatian jemaah lain kerana sering tertawa apabila melihat sesuatu yang lucu.

Ketika dimaklumkan bahawa Mustafa pengsan kerana sawan tiga kali, Aliff tampak muram dan dia bertanya berkali-kali kerana kurang faham dan saya mengatakan bahawa Mustafa tidak sihat dan tidak boleh ikut berziarah kerana diserang sawan.

Mustafa mengalami sawan tiga kali di Madinah, iaitu ketika solat Subuh pertama di Masjid Nabawi, kali kedua sewaktu berjalan di bazar bersama ibu bapanya dan penyelia PDK manakala kali ketiga sebelum kami berangkat ke masjid Quba’.

Namun, Alhamdulillah keadaannya terkawal di Makkah dan Mustafa sihat sehingga kembali ke tanah air. Melihatkan gelagat mereka yang sentiasa ceria dan saling mengusik, jemaah umrah yang lain turut terhibur.

Masih saya ingat kata-kata penaja ketika itu:

“Dah banyak kali saya kendalikan umrah tetapi kali ini, Allah mudahkan semua urusan saya,” ujar Hajah Ramlah Ismail penuh sebak dan terharu di dalam bas ketika perjalanan dari Makkah ke Jeddah untuk berangkat pulang ke tanah air.

Insha Allah bersambung minggu depan...

Mekah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Maut Dihempap Marmar Tiga Tan

Artikel Lain