PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang ditemukan di tepi longkang di Mutiara Damansara, di sini dalam keadaan cedera parah dipercayai akibat didera majikannya. Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Mazrah Mohamed membenarkan permohonan polis supaya wanita berusia 43 tahun itu ditahan reman bermula hari ini hingga 28 Disember. Permohonan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan terhadap wanita itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Kejadian yang menimpa pembantu rumah berusia 19 tahun itu menjadi viral di media sosial setelah beberapa keping gambarnya dalam keadaan berlumuran darah tersebar. Wanita itu dijumpai seorang pengawal keselamatan di tepi kawasan longkang Jalan PJU 3/10, Mutiara Damansara, di sini pada 1.30 petang semalam.