suria

Tujuh Dekad Berlalu, Warga Emas Berusia 85 Tahun Masih Rindu Kekasih Lama

Leong Yeo Mooi
MELAKA: Sudah hampir tujuh dekad berlalu, tetapi bagi seorang warga emas di sini, beliau masih merindui kekasihnya yang telah lama terpisah.

Leong Yeo Mooi, 85, hanya berusia 17 tahun apabila beliau jatuh cinta dengan Ah Yip, yang disifatkannya sebagai seorang lelaki kacak dan bermisai, berusia 20-an pada masa itu.


Yeo Mooi menganggap Ah Yip sebagai cinta sebagai pandang pertamanya yang berlaku ketika Ah Yip membantu ibu bapanya memasang paip di rumah mereka di Seremban.


"Pada masa itu tak ada telefon bimbit atau telefon," katanya.

"Saya meluahkan rasa cinta saya kepadanya melalui surat apabila dia datang semula untuk menuntut bayaran daripada ibu bapa saya," katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa Yeo Mooi tidak bersetuju dengan pilihannya disebabkan pekerjaan Ah Yip.

Yeo Mooi berkata, ketika itu adalah sekitar tahun 1940-an dan anak gadis tidak dibenarkan keluar untuk temu janji tanpa kebenaran ibu bapa.

Jadi, Yeo Mooi dan Ah Yip bertemu secara senyap-senyap di bawah pokok berhampiran rumahnya.

"Dia akan datang setiap hari Isnin dan Rabu apabila ibu bapa saya, yang menjual barang-barang besi dan logam berada di Kuala Lumpur."

Yeo Mooi berkata hubungan itu terputus apabila ibu bapanya menguruskan perkahwinannya dengan seorang saudara di Singapura ketika beliau berusia 21 tahun.


"Pada masa itu Ah Yip tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ibu bapa saya mahu saya mempunyai masa depan yang cerah. Saya tidak menyalahkan mereka," katanya.

Tetapi, beliau berkata Ah Yip adalah cinta pertamanya yang  tidak pernah dilupakan.

Setelah kematian suaminya pada tahun 2007, beliau membuat keputusan untuk menaiki bas dari Singapura untuk mencari Ah Yip, tetapi malangnya menjadi mangsa kepada seorang peragut.

Sekeping gambar Ah Yip, yang disimpan selama bertahun-tahun, berada di dalam beg yang diragut.

Beliau telah merayau-rayau tanpa arah sebelum seorang pekerja sosial MCA bertemu dengannya dan membawanya ke Rumah Orang Tua Tong Sim di Taman Rasah, Seremban.

"Saya mempunyai seorang anak lelaki di Singapura, tetapi saya tidak dapat menghubunginya sehingga hari ini," katanya, Isnin.

Menjelang Krismas, Yeo Mooi menyatakan impiannya untuk bertemu Ah Yip sekali lagi di Hotel Equatorial Melaka, lokasi di mana beliau dan tiga rakannya dari rumah kebajikan tersebut diraikan sempena majlis hari jadi.

Penjaga rumah kebajikan, David Chong berkata beliau telah cuba membantu Yeo Mooi untuk mencari Ah Yip selama sembilan tahun, tetapi gagal.

"Dia masih menunggu Ah Yip datang," katanya.

Terdahulu, Pengurus besar hotel Adrian Chung dan pasukannya juga telah melawat rumah kebajikan itu dan menyerahkan barang keperluan kepada semua 13 penghuni.

Chong berkata beliau amat bersyukur dengan bantuan itu, sambil menambah bahawa rumah itu memerlukan katil baharu dan peralatan memasak sebagai memenuhi standard Jabatan Kebajikan negeri.


Pada 6 Disember lalu, The Star melaporkan bahawa rumah itu hampir ditutup kerana masalah kewangan.

Artikel Lain