KUALA LUMPUR: Anggota militan Negara Islam (IS) Muhammad Nasrullah Abd Latif adalah seorang pakar bom dan telah mengabdikan diri bersama kumpulan pengganas itu selama lebih dari dua tahun. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata militan kanan itu yang juga dikenali sebagai Abu Gomes, sedang aktif berkongsi kepakarannya dengan anggota IS lain yang direkrut. "Dia telah menjadi IS militan sejak awal 2014. "Dia berjaya pergi ke Syria pada September 2014 untuk menyertai kumpulan pengganas itu," katanya kepada The Star, Rabu. Walaupun berada di Syria, Abu Gomes, yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak, aktif merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai IS. "Kami kini dalam proses mengenal pasti mereka yang direkrut. "Kami boleh mengesahkan bahawa dia sering berkongsi pengetahuannya dalam pembuatan bom dan telah mengeluarkan arahan kepada sel-sel IS di Malaysia untuk melancarkan serangan," katanya. Walaupun dianggap seorang veteran dalam IS, Ayob Khan berkata Abu Gomes tidak berpengaruh seperti Mohamad Wanndy Mohamad Jedi. "Mohamad Wanndy lebih dikenali oleh sel-sel pengganas di Malaysia berbanding Abu Gomes. "Kami sedang menyiasat sama ada Abu Gomes adalah sebahagian daripada Katibah Nusantara atau serpihan kumpulan IS lain," katanya. Dilaporkan bahawa empat warga asing dan tiga rakyat Malaysia telah ditahan kerana terlibat dalam IS antara 3 November dan 16 Disember berikutan beberapa serbuan di Johor, Melaka, Selangor dan Sabah. Salah seorang daripada mereka adalah seorang warganegara Malaysia berusia 24 tahun, yang ditahan di Melaka pada 26 November dan mendapat 'kebijaksanaan' Abu Gomes dalam membuat bahan letupan. Seorang lagi suspek, seorang warga asing yang ditahan di Johor, telah melakukan percubaan untuk menyeludup senjata ke Poso, Indonesia. Ayob Khan berkata suspek di Melaka itu juga mendapat maklumat daripada Abu Gomes berhubung lokasi untuk mendapatkan bahan-bahan untuk membuat IED (bahan letupan). "Dia juga telah menjadi militan IS sejak 2014. "Kami mendapati dia telah bertindak di bawah arahan Mohamad Wanndy," katanya. Mengenai warga asing yang ditahan di Johor, Ayob Khan berkata dia merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup senjata kepada militan lain di Poso. "Dia memasuki negara ini secara sah setahun lalu tetapi tinggal melebihi tempoh. "Dia pernah kerja sebagai pekerja kilang di Johor Baru bagi membolehkannya menjalankan kerja sebagai seorang militan IS," katanya, sambil menambah suspek juga menerima arahan daripada Mohamad Wanndy. Walaupun polis sentiasa berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan plot keganasan semasa Krismas dan Tahun Baru, Ayob Khan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik. "Orang ramai perlu menjalankan rutin mereka dan meraikan musim cuti ini. "Kami sentiasa berjaga-jaga dan keselamatan rakyat adalah keutamaan kami," katanya. Setakat ini, 14 plot keganasan telah digagalkan manakala 264 militan ditahan sejak Februari 2013.