KUALA LUMPUR: Tiga lagi pesawat Beechcraft B-200T milik TUDM yang berpangkalan di Subang tidak dibenarkan beroperasi berikutan nahas pesawat yang sama di Pangkalan Udara Butterworth, Rabu. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini adalah bagi membantu siasatan punca nahas pesawat buatan Amerika Syarikat itu yang digunakan untuk rondaan maritim selain operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 1994. "Saya telah arah Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang untuk kenal pasti punca nahas dan laksana pelan tindakan berkesan elak kejadian yang sama dari berulang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di Wisma Pertahanan di sini, Rabu.