KUALA LUMPUR: Pendaki solo negara Mohd Noor Mat Amin atau lebih dikenali sebagai Mr Solo dijangka mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui misi mendaki tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) sebanyak 24 kali tanpa henti selama 24 jam. Jurufoto Utusan Malaysia berusia 49 tahun itu telah memulakan misi Kopi Pak Belalang KL Tower Staircase Climbing 2016 pukul 9 pagi ini dan dijangka memecah rekodnya sendiri yang dibuat pada tahun 2008 pada 9 pagi esok. "Jika sebelum ini saya berjaya membuat rekod 20 kali (naik turun tangga di Menara KL) tetapi kali ini saya sasarkan untuk melakukannya untuk 24 kali dan kalau boleh ingin menamatkan misi lebih awal daripada masa ditetapkan. "Cabaran ini tentunya memerlukan mental dan fizikal yang kuat, tidak semua orang boleh melakukan tanpa berbekalkan semangat dan kegigihan yang tak berbelah bahagi," katanya kepada pemberita sebelum memulakan misi memanjat 2,058 anak tangga Menara KL itu di sini hari ini. Mohd Nor mempunyai pengalaman yang luas dalam pendakian gunung dan tangga serta telah menerima empat pengiktirafan daripada MBOR sejak 2007 menerusi beberapa pencapaian solonya. Anak kelahiran Terengganu itu pernah diiktiraf sebagai Pendaki Solo 50 kali Bersempena Kemerdekaan Negara ke-50 (2007), Pendakian Tangga Tanpa Henti selama 24 Jam Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Solo 111 kali Gunung Kinabalu 1Malaysia (2010) dan mendaki Gunung Kinabalu selama 57 jam tanpa henti bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 (2014). Sementara itu wakil daripada MBOR, Siti Hajar Johor berkata pihaknya yakin Mohd Noor dapat menjayakan misi tersebut berdasarkan pengalaman dan kejayaan yang pernah dicapai pendaki itu sebelum ini. "Diharap kejayaan-kejayaan seperti ini akan memberi inspirasi terutama kepada generasi muda untuk terus mencipta sejarah tersendiri," katanya. Katanya walaupun MBOR menerima banyak permohonan untuk percubaan mencipta rekod baharu namun hanya permintaan yang mempunyai nilai serta kualiti sahaja yang akan dipilih.