suria

Nahas Bas: Kementerian Pengangkutan Arah Siasatan Rapi

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjalankan siasatan terhadap nahas bas ekspres di Muar, Johor yang mengorbankan14 nyawa, awal pagi Sabtu.    

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian memandang serius kemalangan bas ekspres itu dan siasatan perlu dilakukan dari pelbagai sudut keselamatan bagi mengenal pasti punca kejadian.   

"Hasil siasatan yang mendalam ini akan diguna pakai oleh kementerian untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan dari semua sudut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.    

Pihak Miros diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Prof Dr Wong Shaw Voon akan bekerjasama dengan Suruhan jaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengumpul data di kawasan kemalangan, kata Liow.   

"Miros dan SPAD juga akan bersama-sama mengaudit syarikat pengendali yang berkenaan. Maklumat awal daripada pihak polis juga akan dianalisis bagi mengenal pasti punca kejadian, hasil siasatan dijangka diperolehi dalam masa terdekat," katanya.  

Liow turut meminta pengguna jalan raya supaya mengambil pengajaran daripada kejadian kemalangan itu dan memandu secara berhati-hati demi memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban di musim perayaan ini.    

Kemalangan itu berlaku pada 3.25 pagi di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berdekatan Kampung Jayor, Pagoh, Muar, Johor dan mengorbankan 14 orang iaitu 10 perempuan termasuk kanak-kanak dan empat lelaki.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa tragedi bas itu awal pagi tadi.

Nancy berkata siasatan pelbagai agensi terhadap nahas itu bermula dengan segera dengan Miros menerajuinya manakala SPAD membantu siasatan.

Miros akan meneliti aspek nahas sementara SPAD akan memberi fokus kepada pematuhan kepadagaris panduan keselamatan SPAD. 

"Saya telah memaklumkan kepada SPAD tentang perlunya untuk mempercepatkan siasatan dan mengenakan hukuman paling berat kepada pihak yang didapati bertanggungjawab Nancy juga berkata beliau menyokong penuh prosedur operasi standard (SOP) SPAD untuk menggantung operasi Goldstar Express Sdn Bhd, pengendali bas ekspres itu, sementara menunggu hasil siasatan.-Bernama

Artikel Lain