suria

Kerajaan Johor Sedia Bantu Mangsa Nahas Bas Ekspres

Keadaan bas selepas terlibat dalam kemalangan maut awal pagi Sabtu.Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG/The Star.

MUAR: Kerajaan negeri Johor akan menawarkan beberapa bentuk bantuan kepada semua mangsa nahas bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Pagoh, awal pagi Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata bantuan tersebut merangkumi kemudahan dan keselesaan kepada keluarga waris serta mangsa sepanjang berada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

"Untuk peringkat awal, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan berbentuk kemudahan dan keselesaan kepada keluarga termasuk keluarga dari Singapura.

"Bagi yang beragama Islam, pengangkutan jenazah akan diuruskan sepenuhnya oleh jabatan bertanggungjawab (Jabatan Agama Islam Johor) dan arahan ini telah dikeluarkan kepada pihak berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi di Bilik Mayat HPSF, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Mohamed.

Abd Mutalip yang mewakili Kerajaan Johor berkata kerajaan negeri juga bersedia memberi kerjasama dengan Kerajaan Singapura bagi membantu pengurusan mangsa dari republik itu yang cedera dan meninggal dunia.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah atas insiden itu dan berharap keluarga yang terlibat menerima dugaan itu dengan tabah.

"Pesanan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerajaan negeri akan memberi bantuan tidak kira siapa. Di hospital juga akan ada sukarelawan yang membantu...Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri juga ada di sini (hospital)," katanya. -Bernama

Kerajaan Johor bantu, nahas bas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain