suria

PPBM Belum Tubuh Sayap Wanita

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa bahawa sayap wanitanya masih belum dibentuk secara rasmi dan oleh itu jawatan ketua juga masih belum wujud.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata demikian bagi menjawab dakwaan bahawa Anina Saadudin telah dipecat sebagai ketua sayap wanita parti itu.

"Ingin saya menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM masih belum menubuhkan sayap Srikandi.

"Menurut Perkara 21 Perlembagaan PPBM, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidangkuasa MPT," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun menurut Shahruddin, kedudukan Anina sebagai ahli MPT PPBM yang bertanggungjawab bagi menyelaras kegiatan Srikandi PPBM masih kekal.

"MPT akan menubuhkan sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi.

"Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian pemilihan Ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi," katanya.

Anina Saadudin, PPBM

Artikel Lain