CAMERON HIGHLANDS: Paras air di Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet, Cameron Highlands berada pada paras normal walaupun hujan tanpa henti dilaporkan berlaku pada Ahad. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang Zainal Yusoff berkata setakat ini keadaan di tanah tinggi itu terkawal walaupun beberapa insiden tanah runtuh dan banjir kilat dilaporkan berlaku semalam terutama di Tanah Rata. "Setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik dan paras air empangan juga normal," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin. Hujan tanpa henti selama sehari semalam menyebabkan paras empangan berkenaan mencecah 1068.5 meter iaitu melebih paras normal iaitu 1068.3 meter. Zainal berkata penduduk kawasan sekitar empangan iaitu Lembah Bertam akan hanya diarah berpindah sekiranya paras empangan mencecah 1069.8 meter. Sementara itu, cuaca di sini ketika ini dilaporkan baik.