suria

Anggota Tentera Maut Dilanggar Bas Ekspres

GAMBAR HIASAN

SERIAN: Seorang anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggangi bersama sepupunya dilanggar sebuah bas ekspres dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaaan di KM61 Jalan Kuching/Sri Aman-Serian di sini malam Isnin.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, mangsa Mohammad Haziq Irsyaduddin Ismail, 23, yang bertugas di Markas Tentera Darat Kem Kementah, Kuala Lumpur bersama Eirsard Emier Bin Yahya, 20, dalam perjalanan dari arah Pasar Serian menuju ke rumahnya di Kampung Hulu, Serian.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, ASP Mathew Manggi berkata mangsa kemudiannya berhenti di tengah jalan untuk membelok masuk ke simpang kampung tersebut sebelum bas ekspres itu melanggar motosikal tersebut dari arah belakang.

"Akibat rempuhan itu Mohammad Haziq meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan luka di bahagian rusuk sebelah kanan.

"Sepupunya Eirsard Emier yang membonceng motosikal itu turut mengalami kecederaan parah di kepala selepas terpelanting ke atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Fortuner yang datang dari arah Sri Aman," katanya.

Mathew berkata Eirsard Emier yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Daerah Serian sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

"Jenazah Mohammad Haziq pula dibawa ke Hospital Daerah Serian untuk dibuat pemeriksaan lanjut punca kematian dan mayat mangsa akan diserahkan kepada waris selepas selesai pemeriksaan," katanya.

Mathew berkata kedua-dua pemandu bas ekspres dan Toyota Fortuner tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Kemalangan Bas

Artikel Lain