KOTA BELUD: Ibu bapa di sini melahirkan rasa syukur dan gembira kerana menerima pelbagai bantuan persekolahan, khidmat gunting rambut dan membaiki kasut sekolah secara percuma sempena sesi persekolahan 2017 yang akan bermula minggu depan. Bantuan seperti beg sekolah dan kemeja T melalui program Kembali Ke Sekolah anjuran Media Prima, Measat dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan melegakan mereka. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak turut meninjau program itu yang juga menempatkan 30 gerai gunting rambut dan lima gerai membaiki kasut sekolah. Fatimah Alimun, 31, dari Kampung Kotabungan berkata dengan bantuan yang diterima itu, beliau tidak perlu lagi membawa lima orang anaknya ke kedai memberi keperluan persekolahan. "Saya memang rasa begitu seronok menerima bantuan ini yang dapat meringankan beban dan mengurangkan kos perbelanjaan kami, harap program ini terus dilaksanakan pada tahun-tahun hadapan," kata suri rumah itu kepada Bernama. Isteri kepada buruh binaan itu berkata, dengan beg baharu dan rambut yang kemas dipotong, kesemua anaknya yang akan memulakan sesi persekolahan tahun depan bermula dari tadika hingga tahun enam, akan lebih bersemangat dan penuh motivasi. Seorang pemandu lori, Tony Ibrahim, 32, dari Kampung Nanamun pula berkata, dia, isteri serta dua anaknya tiba di perkarangan bangunan Majlis Daerah Kota Belud seawal 7 pagi untuk mendaftarkan diri sebagai penerima bantuan. "Program ini amat memuaskan, kalau ada kasut sekolah rosak, ibu bapa boleh menghantar kasut berkenaan untuk dijahit semula secara percuma. Memang berbaloi kerana dapat meringankan beban saya," katanya. Tony yang mempunyai dua orang anak, masing-masing bakal memasuki tahun satu dan dua, berkata biasanya kos membeli beg sekolah ialah antara RM26 hingga RM28 manakala upah gunting rambut pula sesetengah kedai mengenakan upah sebanyak RM7. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kerana menggalakkan program seumpama ini yang sememangnya meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah dan ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang bersekolah," katanya. Sementara itu, wakil Media Prima, Norhanizar Shafie berkata program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat pihaknya untuk meringankan beban penduduk Kota Belud. "Objektif kami ialah untuk bersama-sama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia membantu kanak-kanak yang akan memulakan sesi persekolahan tahun depan agar mereka lebih bersedia dengan kelengkapan baharu dan seronok untuk ke sekolah," katanya. Beliau berkata Media Prima turut mempunyai perancangan untuk meneruskan program kerjasama seperti itu pada tahun-tahun akan datang kerana sambutan yang diterima daripada penduduk di sini amat luar biasa dan di luar jangkaan.