JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori ditahan kerana mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal ketika membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan di Taman Adda Heights, di sini pada Isnin. Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Bahru Selatan Supt M Kumar berkata pada kejadian 6.15 pagi, lori muatan ayam beku itu datang dari Taman Adda Heights menghala ke Taman Daya, berhenti di sebuah simpang untuk membuat pusingan sebelum dilanggar dari belakang oleh penunggang motosikal terbabit. "Hasil siasatan mendapati pemandu lori berkenaan cuai kerana membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan maut, penunggang motosikal berusia 16 tahun itu pula tidak mempunyai lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa. Kumar berkata penunggang motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan setelah terlanggar lori berkenaan. Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung. - BERNAMA