SEPANG: Berbekalkan telefon bimbit, seorang lelaki kelihatan berlegar-legar di pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sambil aplikasi perkhidmatan kongsi kereta yang ditawarkan dibiar tertera di skrin bagi 'memancing' perhatian orang ramai, termasuk pelancong asing. Matanya meliar mencari sasaran di kalangan orang awam di situ yang mahu menggunakan perkhidmatan itu tetap belum menekan butang 'tempah' menerusi aplikasi berkenaan. Tidak perlu menunggu lama, lelaki itu sudah dapat mengesan individu yang dicari-cari dan segera mendekati sasarannya. Perkara pertama yang dilakukannya adalah melengah-lengahkan 'mangsa' daripada membuat tempahan. Modus operandi inilah yang mengubah status lelaki yang berdaftar sebagai pemandu syarikat penyedia perkhidmatan itu kepada 'ulat' teksi atau dalam kes ini lebih sesuai dikenali sebagai sesumpah. Kumpulan ini rata-rata terdiri daripada pemandu yang berdaftar dengan syarikat Uber atau GrabCar yang menghantar penumpang ke lapangan terbang, tetapi tidak mahu rugi apabila tiada atau sukar mendapat 'bip' (bunyi tempahan) penumpang seterusnya. Mereka tidak mahu pulang ke ibu kota dengan kereta kosong, di mana kos minyak dan tol perlu ditanggung sendiri dan dengan itu mencari ruang untuk mengisi poket sendiri tanpa menghiraukan syarat yang ditetapkan syarikat berkenaan. Demikian senario yang dirakamkan mStar Online menerusi beberapa siri tinjauan di KLIA2 selama kira-kira dua bulan, termasuk menyamar sebagai orang awam yang menggunakan dua aplikasi perkhidmatan tersebut. Tinjauan dilakukan pada waktu puncak iaitu antara tengah malam hingga awal pagi. Sebaik mengesan sasarannya, pemandu perkhidmatan yang diluluskan Kabinet pada Ogos lalu itu akan memulakan perbualan dan berunding dengan bakal penumpangnya. Ketika itu, skrin telefon bimbit sengaja dibiar terbuka, ia antara taktik untuk meyakinkan pelanggan bahawa mereka sedang bercakap dengan pemandu perkhidmatan itu. “Kalau belum tempah, boleh naik dengan saya. Saya pun pemandu (Grab/Uber) juga (sambil menunjukkan aplikasi yang sedang aktif di telefon bimbit sebagai bukti), cuma bezanya encik tak payah tekan 'tempah', terus naik di sini dan saya akan terus hantar. “Kalau setuju, saya boleh bagi diskaun sikit berbanding ikut tambang sebenar,” demikian kata lelaki berkenaan ketika menghampiri dua wartawan portal berita ini di KLIA2 baru-baru ini. Kira-kira seminit berunding, pemandu itu setuju menghantar dua wartawan mStar Online ke Damansara dengan tambang RM70 (termasuk tol) berbanding kadar RM65 (tidak termasuk tol) yang ditetapkan syarikat perkhidmatan itu. Insiden itu berlaku pada kira-kira pukul 1.30 pagi. Apa yang pasti untuk perjalanan ini pemandu tersebut telah mendapat habuan bersih sebanyak RM70, tanpa perlu menolak komisen 20 peratus seperti ditetapkan syarikat jika mereka mengambil penumpang yang membuat tempahan secara sah menggunakan aplikasi itu. Malah, bagi pemandu yang memang sengaja datang ke KLIA dengan tujuan menjadi 'sesumpah', habuan yang diterima nyata jauh lebih lumayan apabila lebih banyak trip atau penumpang diperolehi dalam tempoh tertentu. Dengan mematikan mod aktif sebagai pemandu yang sedang bertugas apabila sudah mendapat ‘mangsa’, mereka bukan sahaja mendapat bayaran tambang penuh, tetapi mendapat tunai segera tanpa perlu menunggu 'gaji' secara mingguan yang dibayar oleh syarikat. Ini bermakna, keuntungan akan memihak kepada pemandu, manakala syarikat menanggung kerugian dari segi komisen walaupun pemandu terbabit menggunakan nama dan aplikasi syarikat berkenaan untuk mencari penumpang. Turut menanggung kesannya adalah pemandu teksi yang sudah lama menunggu penumpang di KLIA2, tetapi akhirnya terlepas trip gara-gara ‘dirampas’ secara rakus oleh 'sesumpah' syarikat ini, selain 'ulat' atau pemandu kereta sapu sedia ada. Terkini, di Malaysia terdapat kira-kira 150,000 pemandu untuk perkhidmatan kereta sewa/kereta kongsi di seluruh negara dan dari jumlah itu, 77,000 adalah pemandu teksi bermeter dan kira-kira 60,000 adalah pemandu yang mendaftar dengan syarikat GrabCar dan Uber. Angka terkini yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada November lalu menyebut, 20 peratus daripada 60,000 pemandu Grab/Uber yang berdaftar dikategorikan aktif, manakala 80 peratus lagi beroperasi secara sambilan. Bayangkan, berapa jumlah komisen syarikat yang 'lebur' jika tindakan tidak bertanggungjawab ini dibiarkan berterusan dan semakin ramai yang menyalahgunakan status pemandu berdaftar perkhidmatan ini. Bagi pihak pengguna pula, tidak menghairankan apabila mereka begitu mudah menerima perkhidmatan ini, lebih-lebih lagi selepas maklum undang-undang mengenainya akan dibentangkan di Parlimen tahun depan. Jika selama ini orang ramai cukup takut, terkulat-kulat atau cuba melarikan diri apabila didekati ulat atau pemandu kereta sapu kerana faktor keselamatan, berlainan pula halnya apabila mereka dihampiri pemandu Uber/Grab. Pelanggan bagaikan lebih yakin dan selamat dengan si pemandu di hadapannya yang kebanyakannya berpenampilan kemas dan paling penting, pada pandangan mereka, telah berdaftar secara sah dengan syarikat berkenaan. Tanpa perlu menunggu lama kerana kereta dan si pemandu sudah tersedia di depan mata, tidak hairanlah ramai pelanggan akan terpesona dengan tawaran sebegini. Walaupun kereta yang dinaiki mungkin bersih, baharu dan diselenggara baik, tetapi hakikatnya, risiko yang perlu ditanggung tidak ubah seperti mereka menaiki sebuah kereta sapu. Aktiviti ini bagaimanapun dilihat kurang aktif di KLIA, tetapi cukup ligat di KLIA2 terutama pada waktu malam disebabkan tiada langsung pengawasan pihak berkuasa. Pada waktu tersebut, pemandu terlibat bebas meletakkan kereta mereka di tepi-tepi jalan dekat dengan balai ketibaan dan mereka akan keluar mencari 'mangsa'. Ikuti siri kedua laporan khas ini yang mengetengahkan anggaran habuan yang dikaut 'sesumpah' ini sekali gus kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan. Selain maklum balas syarikat terlibat, mStar Online juga akan mendapatkan komen agensi penguatkuasa yang sedang berusaha menangani kegiatan 'sesumpah' rakus ini.