suria

Peniaga, Pelajar Dipenjara Gara-Gara Miliki Wang Palsu

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Seorang peniaga dan pelajar kolej masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana memiliki 46 keping wang palsu bernilai RM4,600.

Piong Jia Fei, 23, dihukum penjara lima bulan manakala Tan Mc Jian, 22, dihukum penjara dua bulan selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Piong menjalani hukuman itu bermula hari ini manakala Tan dari tarikh dia direman pada 8 April lalu.

Mereka didakwa memiliki 46 keping wang kertas palsu dengan setiap keping bernilai RM100 di Restoran Finn Cafe, Jalan USH 10/1E, Taipan Triangle, Subang Jaya, pada 2.10 pagi, 1 Oktober 2015, mengikut Seksyen 488C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan katanya wang palsu itu ditemui di dalam poket dan dompet mereka.

"Selain itu, Piong turut membawa pihak berkuasa ke premis tempat duit palsu itu dicetak dan menemui lebih banyak wang palsu di situ," katanya.

Peguam G.A Suresh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman penjara minimum ke atas anak guamnya kerana mereka telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. - BERNAMA

Wang Palsu

Artikel Sebelum

Kalendar Bomba Kembali

Artikel Berikut

Artikel Lain