suria

Pembantu Rumah Indonesia Di Bawah Jagaan Kedutaan

Suyanti
PETALING JAYA: Pembantu rumah warga Indonesia berusia 19 tahun yang mendakwa dirinya didera oleh majikannya, kini berada di Kedutaan Indonesia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Superintendan Mohd Ali Thamby berkata pembantu rumah itu, yang dikenali sebagai Suyanti akan berada di bawah jagaan kedutaan selepas dia dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Dia berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi, Selasa.

Majikan Suyanti, seorang wanita berusia 43 tahun yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis, kata Mohd Ali.

"Dia dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

"Kami telah mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Jumaat. Kami masih menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya mengenai cara terbaik untuk menyelesaikan kes ini, "katanya.

Dilaporkan bahawa seorang pengawal keselamatan telah bertemu dengan Suyanti yang tidak sedarkan diri di tepi parit di Mutiara Damansara dan kejadian itu tersebar di media sosial, Rabu lepas.

Majikannya menyerah diri kepada polis kira-kira pukul 10.30 malam hari yang sama dan kemudiannya ditahan reman.

Pembantu rumah itu mendakwa dia telah bekerja dengan majikannya selama dua minggu dan telah didera setiap hari.

Suyanti, dari Medan, juga mendakwa dia tidak dibenarkan untuk mandi dan hanya dibenarkan makan sekali sehari.

Rabu lalu, dia telah memanjat tangga berhampiran pagar rumah dan melompat ke luar, sebelum berlari secepat mungkin sehingga rebah kerana keletihan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno berharap majikan dan pekerja boleh memahami antara satu sama lain dan bekerjasama seperti yang ditetapkan dalam kontrak mereka.

"Majikan tidak boleh menganiaya pekerja.

"Saya berharap pelaku akan dibawa ke muka pengadilan dan menganggung akibat daripada tindakannya," katanya.

Artikel Lain