KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan berhubung kumpulan pangganas Daesh. Fazar Nor Md Reduan, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman selepas kes itu disebut pada Rabu. Dia didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi. Perbuatan itu juga dianggap untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit miliknya. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah Blok 11, AU 3/1, Ulu Kelang, di sini di antara April dan 28 Jun lepas. Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah diguna pakai atau diniat untuk kesalahan itu, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, Fazar Nor didakwa memiliki lima keping gambar dan lapan video berunsurkan perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di hadapan Liberty Insurans Berhad Taman Danau Kota, Off Jalan Genting Klang, di sini, pada 1.20 petang, 28 Jun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana barangan tersebut, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 23 Jan untuk sebutan semula kes itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA