KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Awang Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Piut gagal membayar wang jaminan sebanyak RM10 juta dan RM2 juta dan akan dihantar ke Penjara Kota Kinabalu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan perkara itu dan turut diakui oleh peguam mereka Hairul Vaiyron Othman. SPRM turut memaklumkan seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah Lim Lam Ben dibebaskan selepas membayar wang jaminan RM1 juta melalui deraf bank dan perkara itu turut disahkan oleh peguamnya Chin. Awang Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah. Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas. Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wangRM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank. Lam Ben yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta. Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Hakim Ummu Kalthum Abdul Samad menetapkan 28 Februari sebagai tarikh pengurusan kes.