KUALA LUMPUR: Seorang juru pendawaian elektrik yang sebelum ini dihukum penjara 10 tahun bagi sabitan merogol seorang pekerja salon, terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman itu kepada 18 tahun. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 10 tahun diputuskan hakim Mahkamah Sesyen terhadap S. Shasitharan, 21, pada 9 Mei lalu setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya. Beliau turut menambah hukuman sebatan daripada lima kepada 10 sebatan terhadap Shasitharan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 21 November 2015. Mohamad Shariff dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh menjijikkan kerana dia sanggup merogol mangsa ketika dia dalam keadaan haid dan masyarakat mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu. Katanya, mahkamah juga mendapati tertuduh tidak mempunyai belas kasihan dan tidak menghiraukan kebajikan mangsa semata-mata untuk memuaskan nafsu 'binatangnya' kerana wanita itu sepatutnya dilindungi dan bukannya diperlakukan sedemikian. "Tertuduh bukan sahaja memuaskan nafsu binatangnya tetapi turut mengugut mangsa menggunakan kapak bagi mendatangkan ketakutan terhadapnya," kata Mohamad Shariff yang turut menyifatkan perbuatan dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius. Shasitharan didapati bersalah merogol wanita berusia 18 tahun tujuh bulan itu di dalam sebuah kereta di kawasan Taman Bukit Cheras pada 8.50 pagi, 21 November 2015. Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam C. Selvarajaa. - Bernama